Sunday, April 26, 2009
Tiada DUA hanya SATU


Tuhanku...
Hadirkan rasa cintaku kepadamu...
Tuhanku...
Berikan rasa kasihmu kepadaku...

Bila hatiku tersentuh pada cinta
Semurni impianku yang mewangi
Ku pasti...

c\o
Tiada dua hanya satu
Menelusuri dalam kalbu
Persis mutiara yang bersinar
Kuteruskan....

Tiada lagi keraguan
Ku hamparkan perjalanan
Kan ku tempuh onak cabaran
Aku harap cinta...

Berlari mencari iman dihati
Mengukur taqwa menyemai nurani
Mendamba mengharap redha ilahi...

c\o
Tiada dua hanya satu
Menelusuri dalam kalbu
Persis mutiara yang bersinar
Kuteruskan....

Tiada lagi keraguan
Ku hamparkan perjalanan
Kan ku tempuh onak cabaran
Aku harap cinta....

Marilah bersama hayati indahnya hidup bersaudara
Jalinkan kemesraan rasa kasih sayang abadi selamanya...




Posted at Sunday, April 26, 2009 by aslam_fatin
Make a comment  




Wednesday, March 04, 2009
LUASNYA NERAKA!!

Yazid Arraqqasyi dari Anas bin Malik ra. berkata:
Jibrail datang kepada Nabi saw pada waktu yg ia tidak biasa
datang dalam keadaan berubah mukanya,
maka ditanya oleh nabi s.a.w.:
'Mengapa aku melihat kau berubah muka?'

Jawabnya: 'Ya Muhammad, aku datang kepadamu di saat
Allah menyuruh supaya dikobarkan penyalaan api neraka,
maka tidak layak bagi orang yg mengetahui bahawa
neraka Jahannam itu benar, dan siksa kubur itu benar,
dan siksa Allah itu terbesar untuk bersuka-suka sebelum
ia merasa aman dari padanya...'

Lalu nabi s.a.w.. bersabda: 'Ya Jibrail,
jelaskan padaku sifat Jahannam.'

Jawabnya: 'Ya. Ketika Allah menjadikan Jahannam,
maka dinyalakan selama seribu tahun, sehingga merah,
kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih,
kemudian seribu tahun sehingga hitam, maka ia hitam gelap,
tidak pernah padam nyala dan baranya.
Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak,
andaikan terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan
dapat membakar penduduk dunia semuanya kerana panasnya.

Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak,
andaikan satu baju ahli neraka itu digantung di antara
langit dan bumi nescaya akan mati penduduk bumi
kerana panas apinya..

Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak,
andaikan satu pergelangan dari rantai
yg disebut dalam Al-Quran itu diletakkan di atas bukit,
nescaya akan cair sampai ke bawah bumi yg ke tujuh..

Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak,
andaikan seorang di hujung barat tersiksa,
nescaya akan terbakar orang-orang yang di hujung timur
kerana sangat panasnya,
Jahannam itu sangat dalam dan perhiasannya besi dan
minumannya air panas campur nanah dan
pakaiannya potongan-potongan api.

Api neraka itu ada tujuh pintu,
tiap-tiap pintu ada bahagiannya yang tertentu
dari orang laki-laki dan perempuan.'

Nabi s.a.w. bertanya:
'Apakah pintu-pintunya bagaikan pintu-pintu rumah kami?'

Jawabnya: 'Tidak, tetapi selalu terbuka,
setengahnya di bawah dari lainnya,
dari pintu ke pintu jarak perjalanan 70,000 tahun,
tiap pintu lebih panas dari yang lain 70 kali ganda.'
(nota kefahaman: iaitu yg lebih bawah lebih panas)

Tanya Rasulullah s.a.w..:
'Siapakah penduduk masing-masing pintu?'

Jawab Jibrail:
'Pintu yg TERBAWAH untuk orang-orang munafik,
dan orang-orang yg kafir setelah diturunkan
hidangan mukjizat nabi Isa a.s. serta keluarga Fir'aun
sedang namanya Al-HAWIYAH.

Pintu KEDUA tempat orang-orang musyrikin
bernama JAHIM,

Pintu KETIGA tempat orang shobi'in
bernama SAQAR,

Pintu KEEMPAT
tempat Iblis dan pengikutnya dari kaum majusi
bernama LADHA,

Pintu KELIMA tempat orang yahudi
bernama HUTHOMAH..

Pintu KEENAM tempat orang-orang nasrani
bernama SA'EIR..

Kemudian Jibrail diam segan pada Rasulullah s.a.w.
sehingga ditanya: 'Mengapa tidak kau terangkan penduduk
pintu KETUJUH?'

Jawabnya: 'Di dalamnya
orang-orang yg berdosa besar dari ummatmu
yg sampai mati belum sempat bertaubat
.'

Maka nabi s.a.w. jatuh pengsan
ketika mendengar keterangan itu,
sehingga Jibrail meletakkan kepala nabi s.a..w.
di pangkuannya sehingga sedar kembali dan

sesudah sedar nabi saw bersabda:
'Ya Jibrail, sungguh besar kerisauanku dan sangat sedihku,
apakah ada seorang dari ummat ku yang akan
masuk ke dalam neraka?'

Jawabnya: 'Ya, iaitu orang yg berdosa besar dari ummatmu.'

Kemudian nabi s.a.w. menangis, Jibrail juga menangis,
kemudian nabi s.a.w. masuk ke dalam rumahnya
dan tidak keluar kecuali untuk sembahyang kemudian kembali
dan tidak berbicara dengan orang dan bila sembahyang
selalu menangis dan minta kepada Allah.
(dipetik dari kitab 'Peringatan Bagi Yg Lalai')

Dari Hadith Qudsi: Bagaimana kamu masih boleh
melakukan MAKSIAT sedangkan kamu tak dapat bertahan
dengan panasnya terik matahari Ku..

Tahukah kamu bahawa NERAKA JAHANNAMKUitu:
  • Neraka Jahanam itu mempunyai 7 tingkat

  • Setiap tingkat mempunyai 70,000 daerah

  • Setiap daerah mempunyai 70,000 kampung

  • Setiap kampung mempunyai 70,000 rumah

  • Setiap rumah mempunyai 70,000 bilik

  • Setiap bilik mempunyai 70,000 kotak

  • Setiap kotak mempunyai 70,000 batang pokok zarqum

  • Di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 ekor ular

  • Di dalam mulut setiap ular yang panjang 70 hasta
    mengandungi lautan racun yang hitam pekat.

  • Juga di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 rantai

  • Setiap rantai diseret oleh 70,000 malaikat


Mudah-mudahan ini dapat menimbulkan keinsafan
kepada kita semua.....Wallahua'lam.


Surah Al- Baqarah Ayat 159

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan
apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan
dan petunjuk hidayat, sesudah Kami terangkannya
kepada manusia di dalam Kitab Suci,
mereka itu dilaknat oleh Allah dan
dilaknat oleh sekalian makhluk..

Ya Allah... takutnyer...

YA ALLAH YA RAHMAN YA RAHIM, lindunglilah dan
peliharakanlah kami, kedua ibubapa kami, isteri kami,
anak-anak kami, kaum keluarga kami, sahabat-sahabatt kami
& semua orang Islam dari azab seksa api nerakaMu
YA ALLAH...

Sesungguhnya kami tidak layak untuk menduduki syurgaMu
YA ALLAH, namun tidak pula kami sanggup untuk ke nerakaMu
YA ALLAH...

Ampunilah dosa-dosa kami, terimalah taubat kami
dan terimalah segala ibadah dan amalan kami
dengan RAHMATMU YA ALLAH......
AMIN.....



Posted at Wednesday, March 04, 2009 by aslam_fatin
Make a comment  




Tuesday, March 03, 2009
Teman Bersama


Dalam kesepian ku ingin teman,
Teman yang bisa bersama tuk selamanya,
Berjuang bersama mengharungi dugaan,
Cabaran di depan tak kan ku gentar..

Dalam keraguan ku tempis jua,
Untuk bersama menanamkan keyakinan,
Tanda kita bersama bersatu berjuang,
Jalanan di depan tanda kemenangan..

Kini ku melakar dalam lubuk hati..

Sejernih embun menitis,
Sesejuk salju nan memutih,
Bagaikan iman kasihi taqwa,
Mendamba mengharap maghfirah,
Persis tanda keimanan,
Pasti bertemu kebahagiaan,
Bersama..

Dengarkan lagu ku ini,
Untuk teman yang sejati,
Dikau hadir bersama kenangan,
Tak bisa terhakis dek suraman...

Bayu memanggil diriku,
Menyampaikan rasa rindu,
Kepadanya insan ku sayang,
Yang bernama teman selamaku idam....




Terima kasih buat teman-teman yang setia disisi di saat suka dan duka.. Segala yang pahit dan manis kita harungi bersama mudah-mudahan lebih mematangkan diri kita untuk menempuh onak cabaran yang bakal mendatang..
Ukhuwwah fillah abadan abada...



Posted at Tuesday, March 03, 2009 by aslam_fatin
Make a comment  




Monday, March 02, 2009
Ukhuwah Islam

Putaran roda kehidupan,
Mengukir kasih dalam suratan,
Menjejak ukhuwah semurni impian,
Mendamai rasa persahabatan,
Itulah harapan bangsa,

Sejernih embun menitis,
Sesejuk salju nan memutih,
Bagaikan imannya kasihi taqwa,
Mendamba mengharap maghfirahnya,
Persisnya tanda keimanan,

c\o
Iman taqwa kita semaikan,
Menelusuri dalam jiwa,
Pasti bertemu kebahagiaan,
Bersama..

Ukhuwah islam kita jayakan,
Tempuh segala onak cabaran,
Lambang jihad kita hidupkan,
huoho.....huoho.....huoho.....

Sejernih embun menitis,
Sesejuk salju nan memutih,
Bagaikan imannya kasihi taqwa,
Mendamba mengharap maghfirahnya,
Persisnya tanda keimanan,

Iman taqwa kita semaikan,
Menelusuri dalam jiwa,
Pasti bertemu kebahagiaan,
Bersama..



Lagu ini dicipta khas oleh Akhi Al-Hafiz buatku.. Mudah2an ukhuwwah yang dibina atas dasar iman dan taqwa ini sentiasa beroleh maghfirahNya.. Syukran jazilan kathiira, ya akhi..


Posted at Monday, March 02, 2009 by aslam_fatin
Make a comment  

Kesibukan dunia bukan alasan remehkan ibadah

oleh: Hashim Ahmad

Umat Islam mesti mengutamakan suruhan Ilahi supaya tidak
dibelenggu dengan hawa nafsu. BISIKAN petunjuk yang
melekat pada fikiran dan perasaan orang yang soleh, hasil
usahanya mestilah bersungguh untuk membangunkan iman
dan mewujudkan amal soleh. Petunjuk Allah akan mengarah
jiwa insan yang soleh ke arah mencari keredaan-Nya.

Daripada Abu Hurairah, katanya: Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya Allah berfirman dalam hadis qudsi:
"Barang siapa memusuhi kekasih-Ku, maka Aku
memberitahu padanya bahawa ia akan Kuperangi,
Kumusuhi.. Dan tidaklah seseorang hamba-Ku itu mendekat
pada-Ku dengan sesuatu yang amat Kucintai lebih daripada
apabila ia melakukan apa yang telah Kuwajibkan padanya.
Dan tidaklah seorang hamba-Ku itu mendekatkan pada-Ku
dan melakukan hal sunnah sehingga akhirnya
Aku mencintainya. Maka apabila Aku mencintainya,
Akulah sebagai telinganya yang ia gunakan untuk
mendengar, Akulah matanya yang ia gunakan untuk melihat,
Akulah tangannya yang dia gunakan untuk mengambil
dan Akulah kakinya yang ia gunakan untuk berjalan.
Andai kata ia meminta sesuatu pada-Ku,
pastikan Kuberi dan andai kata memohonkan
perlindungan pada-Ku, pasti Kulindungi."
(Hadis riwayat Bukhari)

Apabila anak Adam pada zaman ini melazimi ibadah wajib
dan sunat seperti dituntut Allah serta ditunjukkan melalui
kehidupan Rasulullah SAW, maka akan tumbuh iman dalam
dirinya untuk hidup bahagia dan selamat.

Ramai orang meremehkan jalan hidup Rasulullah SAW
disebabkan mereka terbelenggu dengan kesibukan.
Bilangan manusia bertambah tetapi tidak ramai yang
memahami tujuan hidup dan bagaimana menjalani
hidup selamat serata bahagia. Masing-masing mengisi hidup
dengan cara sendiri sesuai dengan hawa nafsu. Masyarakat
tradisional suka dengan acara tradisi dan amalan yang
diyakini membawa kepada kejayaan hidup
di dunia serta akhirat.

Ada juga umat beragama membuat upacara ibadah dan
amalan sendiri padahal ia bukan tuntutan Allah dan Rasul-Nya.
Semua itu di hadapan Allah sebagai sia-sia.

Firman Allah yang bermaksud:

"Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu
syariat (peraturan) daripada urusan agama itu, maka
ikuti syariat itu dan jangan kamu ikuti hawa nafsu
orang yang tidak mengetahui." (Surah al-Jasiyah:18)

Kesibukan mengharungi kehidupan dan jadual aktiviti dunia
menyebabkan manusia sering bingung apakah perkara
yang perlu diutamakan supaya dapat mencontohi
Rasulullah SAW yang berjaya melaksanakan tugas
keduniaan dan pada masa sama tidak melupakan
tuntutan akhirat. Mereka yang mendapat petunjuk Allah
akan mengutamakan perkara yang mendekatkan diri
kepada-Nya serta berusaha mencari keredaan-Nya.

Firman Allah yang bermaksud:

"Maka hadapkan wajahmu dengan lurus kepada
agama (Allah); (tetap atas) fitrah Allah yang menciptakan
manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada
fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan
manusia tidak mengetahui dengan kembali bertaubat
kepada-Nya dan bertakwa kepada-Nya serta
dirikanlah solat dan janganlah kamu termasuk orang
yang mempersekutukan Allah."
(Surah ar-Rum: 30-31)

Perlu disedari kehidupan di dunia dan akhirat adalah
milik Allah semata. Apabila manusia mengutamakan
kecintaan selain Allah, maka Allah dapat berbuat segala
sesuatu kepada umat manusia di muka bumi.

Firman Allah yang bermaksud:

"Jika penduduk negeri beriman dan bertakwa,
Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari
langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat Kami) itu,
maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.
Apakah penduduk negeri itu rasa aman daripada kedatangan
seksaan Kami kepada mereka di malam hari pada waktu
mereka sedang tidur? Atau apakah penduduk negeri itu
rasa aman daripada kedatangan seksaan Kami kepada
mereka pada waktu matahari naik ketika mereka
sedang bermain? Maka apakah mereka rasa aman daripada
azab Allah (yang tidak terduga). Tiada yang rasa aman
daripada azab Allah kecuali orang yang merugi."
(Surah al-A'araf: 96-99)

Ancaman Allah ini dijadikan orang beriman yang soleh
untuk lebih mengutamakan jadual Allah, daripada jadual lain.
Mereka lebih mencintai Allah daripada yang lain.
Kepentingan itu kemudian disebarkan kepada umat lain
ke arah mencari kebahagiaan.

Posted at Monday, March 02, 2009 by aslam_fatin
Make a comment  




Wednesday, February 25, 2009
JANGAN MENGELUH....


KITA BERTANYA : KENAPA AKU DIUJI?

QURAN MENJAWAB
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan;
"Kami telah beriman," ("I am full of faith to Allah") sedangkan mereka tidak diuji?
Dan sesungguhnya Kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui org2 yg benar dan, sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta."

-Surah Al-Ankabut ayat 2-3


KITA BERTANYA : KENAPA AKU TAK DAPAT APA YG AKU IDAM-IDAMKAN?

QURAN MENJAWAB
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu,
Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."

- Surah Al-Baqarah ayat 216


KITA BERTANYA : KENAPA UJIAN SEBERAT INI?

QURAN MENJAWAB
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya. "

- Surah Al-Baqarah ayat 286


KITA BERTANYA : KENAPA RASA FRUST?

QURAN MENJAWAB
"Jgnlah kamu bersikap lemah, dan jgnlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah org2 yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org2 yg beriman."

- Surah Al-Imran ayat 139


KITA BERTANYA : BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?

QURAN MENJAWAB
"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan),
dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh (di medan perjuangan),
dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan)
serta bertaqwalah (be fearfull of Allah The Almighty) kamu kepada Allah supaya,
kamu berjaya (mencapai kemenangan). "


KITA BERTANYA : BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?

QURAN MENJAWAB
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk"

- Surah Al-Baqarah ayat 45


KITA BERTANYA : APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?

QURAN MENJAWAB
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari org2 mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga utk mereka... ?

- Surah At-Taubah ayat 111


KITA BERTANYA : KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?

QURAN MENJAWAB
"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari Nya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal. "

- Surah At-Taubah ayat 129


KITA BERKATA : AKU TAK DAPAT TAHAN!!!

QURAN MENJAWAB
".....dan jgnlah kamu berputus asa dr rahmat Allah.
Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yg kafir."

- Surah Yusuf ayat 12


Kita sering diuji dalam hidup ini.. kadangkala kita dapat tempuhinya dengan kuat, ada juga masanya kita tewas.. dengan itu, seharusnya kita selalu fikirkan.. renungkan semula..
sesungguhnya segala ujian itu datang dr Allah..
Pasti ada hikmah disebalik setiap yang berlaku..
kerana Dia lebih mengetahui yang terbaik untuk hamba-hamba yang pernah beriman dgnNya..
renung-renungkanlah..




Posted at Wednesday, February 25, 2009 by aslam_fatin
Make a comment  

ku mulai bangun..

Buat sahabat2 yang dikasihi...
Setelah sekian lama blog ini menyepi, InsyaAllah saya akan usaha bangunkan semula blog ini untuk manfaat bersama..
Konsep blog ini tidak akan diubah, segala ilmu yang dikongsikan adalah bertujuan untuk memberi peringatan/nasihat pada diri terutamanya disamping juga untuk sahabat2 pembaca..
Saya amat mengalu-alukan segala komen/cadangan daripada sahabat2 mengenai entry2 mahupun kekurangan pada blog ini..
Mudah-mudahan usaha ini mendapat keberkatan n keredhaan Allah s.w.t..

Posted at Wednesday, February 25, 2009 by aslam_fatin
Make a comment  




Monday, December 01, 2008
Air mata cinta


Semenjak aku bekerja sebagai guru ni. Aku cukup risau mendengar khabar angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa tu. Jawatan ni pun hanya sebagai guru sandaran sahaja setelah aku beberapa bulan menjadi penganggur terhormat dengan memegang ijazah dari UPM. Itu pun setelah aku dah mula jenuh mendengar leteran abah dan rungut ibu kerana mereka kata aku ni memilih kerja sangat.

Dah tak tahan rasanya, nasib baiklah aku ada kawan lama yang bekerja di Pejabat Pendidikan Daerah yang membuka tawaran pengambilan guru sandaran. Jadi, peluang untuk mengelakkan diri dari terus menjadi bahan rungutan ini tidak kulepaskan begitu sahaja.
Sememangnya aku tahu bahawa diri aku ni tidak layak untuk menjadi pendidik, tapi apa boleh buat.

Sudah keadaan yang memaksa aku untuk melupakan ketidakbolehanku itu. Borang permohonan aku isi ala kadar aje, tidak mengharapkan sangat. Tapi bila dah rezeki itu telah ditentukan milik kita, dan ia memang benar akan menjadi milik kita tanpa kita sangka sekalipun. Aku menerima surat jawapan dengan perasaan berbelah bagi juga sebab aku takut nanti aku tak mampu untuk menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan atas bahuku ini. Namun, abah dan ibu mula tersenyum mendapat berita itu kerana mereka tahu anak gadis mereka ini memang boleh memikul amanah itu.

“Ah, mereka tidak tahu keadaan aku sebenarnya!” Bisik hati kecilku. Walau bagaimanapun, sekurang-kurangnya surat jawapan itu akan menyelamatkan aku untuk seketika. Namun aku sendiri pun tidak tahu setakat mana ia mampu menyelamatkan aku. Aku ada mendengar desas–desus dari adik-adik yang mengatakan bahawa ada orang telah datang merisik aku. Terkejut gila aku dibuatnya. Aku masih belum memikirkan lagi untuk menjadi isteri, suri rumah tangga apatah lagi ibu. Lagipun aku masih belum bersedia untuk memasuki alam rumah tangga. Harap-harap, tawaran guru ini akan membantu menyelamatkan aku yang dalam keadaan genting dan kritikal ini.

Sekurang-kurangnya aku ada alasan untuk menolak pinangan sesiapa sahaja dengan mengatakan bahawa aku ingin menumpukan perhatian pada kerjaku terlebih dahulu untuk mencari pengalaman. Lagipun aku tahu perangai abah dan ibu yang tidak pernah memaksa aku untuk memenuhi kehendak mereka. Cuma harapan mereka itu yang akan membuatkan aku jadi serba salah untuk tidak memenuhinya.

“Bila angah nak lapor diri?” Tanya abah sewaktu kami sedang makan malam. Makan malam bersama-sama merupakan perkara penting dalam keluargaku. Sebab itulah hubungan kami bertambah mesra.
“Minggu depan bah.”. aku telah diarahkan untuk melaporkan diri di Sekolah Menengah Agama Falahiah di Pasir Pekan, Kelantan. Itulah sebuah negeri yang tidak pernah kujejaki sepanjang hidupku hingga kini. Namun aku akan memecahkan rekod itu minggu depan.

“Angah nak abah hantarkan ke?” Memang aku dah jangka abah akan menawarkan pertolongannya itu. Abah tidak pernah membiarkan aku kesusahan keseorangan tanpa bantuannya sampailah aku dah besar panjang dan keluar universiti begini. Abah seorang yang cukup penyayang pada kami anak-anaknya. Dia selalu memanjakan kami dalam lingkungan batas-batas tertentu.

“Tak payahlah bah. Angah pergi naik bas saja dengan kawan. Kawan angah pun kena mengajar kat situ juga.” Jelas ku. Aku tak nak menyusahkan abah. Jauh juga perjalanan dari Selayang ni ke sana. Kata orang, dalam tujuh atau lapan jam juga. Aku dah banyak menyusahkan abah. Sekarang aku mahu berdikari sendiri dan aku mahu tunjuk dan buktikan pada abah yang anak gadisnya ini mampu untuk melakukan sesuatu dengan usaha sendiri.

Banyak perkara yang terpaksa aku fikirkan. Terutamanya tentang keadaan tempat mengajarku nanti. Negeri yang tidak pernah kujejaki bakal menyambut kedatanganku sebagai musafir yang tidak tahu bila akan kembali ke tempat asalnya. Namun kupercaya bahawa ia pasti bangga menyambutku sebagai tetamunya.

“Jaga diri elok-elok kat tempat orang tu. Nanti jangan lupa selalu hubungi ibu dan abah kat sini.” Pesan ibu sewaktu aku nak bertolak ke Kelantan. Keluarga menghantar aku ke Hentian Putra. “Jangan lupa bawa balik ‘awe’ Kelantan tau!” Usik adik lelakiku. Adik aku seorang ni suka sangat menyakat aku. Kalau cakap dengannya, ada saja hal-hal yang membuatkan kami tidak bersependapat. Namun aku tahu, sejauh mana kasih sayang adikku itu terhadap aku.

“Jaga perangai elok-elok. Tunjukkan budi pekerti yang mulia, barulah semua orang sayang pada kita walau di mana sahaja kita berada.” Itu pesan terakhir abah sebelum aku melangkah menaiki bas. Aku cium tangan abah dan kupeluk ibu. Semoga berkat doa restu mereka. Aku bisa menghadapi dan mendepangi arus kehidupan ini. Kasih dan sayang mu abah dan ibu akan kubawa ke mana-mana sahaja selama mana kaki ini terus melangkah.

“Aah.”. aku menyeka air mata sewaktu melihat lambaian abah, ibu dan adik-adik tatkala bas yang kunaiki mula meninggalkan Perhentian Putra itu. Sedih juga aku untuk berpisah dengan mereka. Keluarga yang aku cukup bahagia dengan kasih sayang yang tercurah.

“Kita nak tinggal kat mana nanti?” Tanyaku pada Nadia, kawan yang senasib denganku. “Tak payah risau. Pak long aku dah janji nak uruskannya untuk kita.” Nasib baik juga si Nadia tu ada bapa saudara kat sana. Kalau tak, macam manalah nasib kami nanti.

“Pagi nanti, dia yang akan datang jemput kita kat stesyen bas.” Sambung Nadia lagi. Lega hatiku bila mendengarnya. Risau juga aku kalau tak ada orang yang ambil nanti sebab kami akan sampai di Kota Bharu sebelum subuh. Pagi-pagi begitu kat manalah kami nak gagau. Aku pun tak terfikir akan dihantar mengajar di Kelantan tu.

Bas yang kami naiki tiba di stesyen bas Kota Bharu sewaktu azan subuh berkumandang dari menara Masjid Muhammadi, sebuah masjid yang tertua di negeri itu. Kedatangan ku ini disambut dengan laungan kalimah suci membesarkan Tuhan. “Semoga ia menjadi suatu petanda yang baik buat ku.” Bisik hati kecilku. Bandar ini sudah mula bangkit dari lena manusia. Orang ramai yang baru tiba, berduyun-duyun menuju ke masjid yang berdekatan.

“Jom, pak long aku dah tunggu tu!” Ajakan Nadia itu membuatkan bicara hatiku terputus di tengah jalan. Aku membuntuti langkahnya yang agak kalut sambil memikul sebuah beg pakaian. Aku hanya membawa barang-barang keperluanku sahaja, yang lain nanti boleh usahakan bila dah dapat tempat tinggal tetap. Aku harap, tempat tinggalku nanti tidaklah jauh sangat dari tempat aku mengajar kerana ia akan memudahkan aku untuk berulang-alik.

“Buat sementara waktu ni, Nadia dan Idah tinggal kat rumah pak long dulu. Lagi pun bukanlah jauh sangat sekolah tu dengan rumah pak long.” Pengkhabaran beginilah yang agak memberatkan hatiku. Selagi boleh. Aku tak nak menyusahkan sesiapa. Aku lebih senang mempunyai rumah sendiri dari menumpang rumah orang lain. Apatah lagi tuan rumah yang kita tumpangi itu tidak mempunyai apa-apa pertalian pun dengan kita. Tapi apa boleh buat, terpaksalah aku bersabar buat seketika ini.




Di Kelantan, sekolahnya bermula pada hari Ahad. Cuti hujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu. Hari ni baru hari Jumaat, jadi lusa baru aku akan melaporkan diri di sekolah agama tu nanti. Aku pun masih terfikir-fikir tentang subjek apa yang akan ku ajar nanti. Risau juga aku takut-takut nanti subjek yang terlalu sukar untuk aku. Lagi pun aku manalah ada pengalaman menjadi guru ni. Ni boleh dikira bidang terjunlah.

Suasana pagi di Kampung Laut ini cukup tenang. Kampung yang berada di atas tebing Sungai Kelantan ini kedudukannya bersetentangan dengan Bandar Kota Bharu. Kita akan dapat melihat bandar itu dari tebing sungai Kampung Laut ini. Rumah bapa saudara Nadia ini agak besar juga. Boleh dikatakan kebanyakan rumah-rumah di kampung ini bertiang tinggi. Ini bagi mengelakkan daripada ditenggelami air apabila banjir melanda. Boleh dikatakan bapa saudaranya itu dari kalangan orang berada juga.

aku agak kepenatan kerana perjalanan yang memakan masa tujuh jam semalam. Aku tidak sedar bila aku terlena di bilik rumah pak long Nadia tu selepas solat subuh tadi. Aku tersedar dari lena apabila telingaku disapa suara yang sayup-sayup kedengaran. “Baru bangun tuan puteri?” Soal Nadia apabila melihat aku menggeliat kemalasan. Dia baru aje selesai mandi.

“Letih sangat naik bas semalam.” Alasanku. Segan juga aku bila memikirkan anak dara yang bangun tengah hari kat rumah orang ni. Nanti dikata orang anak dara pemalas pulak.

“Suara apa tu?” Soal aku pada Nadia. “Itu suara orang memberi kuliyah pagi Jumaat di masjid. kat sini, setiap hari Jumaat ada kuliyah agama di masjid.” Beritahu dia. Baru aku perasan yang rumah pak long Nadia ni tidaklah jauh sangat jaraknya dari masjid. Masjid utama Kampung Laut yang didirikan sebagai mengganti Masjid Lama Kampung Laut yang telah dipindahkan ke Nilam Puri.

“Kenapa?” Soal Nadia agak kehairanan bila memerhatikan aku sedang meneliti suara penceramah yang kedengaran melalui corong pembesar suara masjid itu. “ Tak ada apa-apa. Saja tanya.” Sebenarnya suara itu telah mengingatkan aku pada seseorang. Orang yang tidak pernah ku tatapi dan tengok wajahnya. Namun aku mengenali suaranya. Suara yang suatu ketika dahulu selalu mengganggu kelancaran dan kelicahan kehidupan kampusku tetapi telah bertukar menjadi satu suara yang selalu kurindu dan ku tunggu-tunggu untuk mendengarnya.

“Helo! Boleh saya cakap dengan ustazah Faridah?” Tanya satu suara di hujung talian sana. “Ustazah Faridah tak ada, tapi Faridah aje adalah!”. aku agak kehairanan kerana tak pernah seorang lelaki menelefon aku menanyakan nama Ustazah Faridah. “Ah, samalah tu.” Jawab suara itu.
“Saya bukan ustazah, awak jangan nak memandai. Siapa awak ni?!” Geram rasanya apabila ada orang cuba untuk mempermainkan aku.
“Tak apalah ustazah. Nanti lain kali saya telefon lagi. "assalamualaikum…” Talian dimatikan begitu sahaja tanpa sempat aku berbuat sesuatu. “Aaagh…” Keluh hatiku. Geram. Ada orang cuba untuk mempermainkan aku dengan panggilan ‘ustazah’ tu. Pada hal aku tak layak langsung untuk memakai gelaranku. Dari segi pakaian ku yang lebih ku suka mengenakan seluar panjang atau jeans dipadankan dengan t-shirt lengan panjang dan skaf saja. Lagipun aku suka dengan gaya begitu yang membolehkan aku bergerak lincah. Takkan orang macam aku ni dipanggil ustazah. Tak padan langsung. Ni dah sah orang cuba untuk mempermain-mainkan aku.

Selang beberapa hari, suara itu menelefonku lagi. Boleh dikatakan semua gerak-geriku dia tahu. Semacam aku diperhatikan mata-mata gelap dari Bukit Aman lah pulak. Dah puas aku tanya siapakah tuan empunya suara, namun banyak dalihnya yang membuatkan aku tidak pernah tahu siapakah dia. Banyak hal urusan peribadiku cuba dicampurinya. Dari perjalanan hidup harianku sehinggalah cara aku berurusan dan berpersatuan termasuklah cara aku berpakaian.

“Siapa awak yang nak cuba campuri urusan peribadi saya hah?!”. aku mula hilang kesabaran bila dah semakin melampau langkahnya itu. Namun dia masih mampu untuk bertenang dengan sikapku yang mula panas itu.

“Memang saya tahu siapa saya. Saya bukan abang apatah lagi suami ustazah. Tapi tak salah bukan kalau saya sebagai seorang sahabat cuba untuk menasihati dan memberikan pendapat?” “Jangan panggil saya ustazah! Saya dah meluat dengan awak!” “Saya tidak pernah memaksa ustazah memenuhi ataupun mengikuti nasihat dan pendapat saya. Pilihan keputusan terletak sepenuhnya di tangan ustazah. Saya tiada hak walaupun sedikit untuk menentukannya.” Dia tidak menghiraukan amaran dan kemarahanku itu. Dia tetap memanggilku ustazah.

“Ahh, pergi jahanam dengan ustazah awak tu!” Semburan kemarahanku itu membuatkan aku mematikan talian telefon bimbitku. Selepas kejadian itu. Aku tidak lagi menerima panggilan dari suara misteri itu. Sekurang-kurangnya aku berasa sedikit aman sehinggalah pada hari ulang tahun kelahiran ku yang ke 24. Satu bungkusan telah dikirimkan ke alamat rumahku di Selayang. Aku agak berdebar bila menerima hadiah yang tidak tercatat siapakah nama pengirimnya. Apabila kubuka balutan kotak hadiah itu, kudapati di dalamnya terdapat sepasang baju kurung bewarna krim, sehelai busana bewarna meron serta dua helai telekong yang berwarna pink dan putih. Aku terkejut dengan hadiah itu. Terdapat dalamnya juga sekeping nota ringkas.

"Assalamualaikum……"
Selamat ulang tahun ke 24 buat Ustazah Faridah binti Mansur. Saya doakan semoga Allah memanjangkan usia ustazah dengan ketaatan ibadah serta memurahkan rezeki ustazah dengan yang halal. Amin…..
Pemanggil misteri.

Bagaimana dia boleh tahu tarikh lahir aku. Macam mana pula di memperolehi alamat rumahku ini. Orang ini memang gila agaknya. Aku membelek-belek baju dan telekong yang dihadiahkannya kepadaku itu.
“Cantik juga. Macam dia tahu pulak tentang warna kesukaan ku.” Bisik hati ku. Tapi macam mana aku nak memakainya. Baju kurung tu tak kisahlah sebab aku biasa juga memakainya. Tapi bagaimana dengan busana dan telekong ni? Nanti apa kata keluarga dan kawan-kawanku. Aah..kacau-kacau.

“Aii.. termenung saja! Terkenangkan orang jauh ke?” Usikan mak cik Gayah, mak long Nadia itu membuatkan lamunanku terganggu.
“Takdelah makcik.” “Sambil masak pun boleh termenung, nanti gulai yang kat atas dapur tu boleh hangit tau.” Sampuk Nadia pula.
“Mana ada, kamu ni Nadia kalau tak sakat aku tak senang duduk agaknya.” Mak cik Gayah dan Nadia tersengih mendengar jawapanku itu.

Malam itu kami semua berjemaah di masjid. Kata mak cik Gayah, malam ni ada ustaz jemputan yang akan memberikan ceramah tentang Maulidur Rasul. Kami agak terlewat ke masjid kerana sibuk di dapur. Jadi terpaksalah kami memenuhi saf belakang. Agak ramai juga kaum wanita yang datang ke masjid malam ni. Aku bertakbir ratul ihram pun sewaktu imam dah mula baca surah fatihah. Sekali lagi aku terpana bila mendengar suara imam membacakan fatihah. Aku rasa seperti pernah mendengar suara itu tapi di mana yak. Aku bertakbir menjadi makmumnya. Terlalu asyik mendengar bacaan imam. Alunannya yang mengikut lagu yang biasa dibacakan oleh Saad al-Ghamidi dan Sudais. Aku rasakan bahawa solat maghribku malam itu terlalu pendek dan cepat.

Semasa ceramah maulidur rasul. Aku tidak dapat memberikan sepenuh tumpuan dan perhatian kerana suara penceramah itu benar-benar mengganggu ingatanku. “Ustazah nampak sopan bila berbaju kurung begitu dan lebih bersopan lagi jika berbusana. Jangan hiraukan apa yang orang kata, tapi ambil hirau tentang apa yang Tuhan kata”. aku terima mesej itu melalui telefon bimbitku. Memang ku tahu siapa pengirimnya. Hari itu tiba-tiba saja aku terlintas untuk memakai baju kurung yang dihadiahkan pemanggil misteri itu sewaktu aku menghadiri kuliyah. Cuma telekong saja yang ku ganti dengan skaf biasa. Agak kekok juga sebab dah lama aku tak pakai baju kurung. Itu pun ramai kawan yang tengok pelik saja pada aku. Pelbagai soalan yang mereka Tanya, tapi aku buat tak tahu saja. Malas nak layan.

Apa salah baju tu, lagi pun orang yang bagi bukannya aku yang beli.
“Saya harap ustazah pakai begitu bukan kerana saya, tapi ikhlas kerana Allah.” Suara itu mengingatkan aku. “Awak ingat awak tu siapa? Saya pakai tu kerana saya nak pakailah, tak ada kaitan langsung pun dengan awak.” Tegas aku pada dia. “Baguslah macam tu. Saya harap ustazah akan terus begini.” Itulah suaranya yang terakhir aku dengar. Selepas itu aku tidak lagi menerima sebarang panggilan misteri seperti itu sehinggalah sekarang. Cuma kadang-kadang sahaja aku menerima surat atapun bungkusan yang tidak tercatat nama pengirim dan alamatnya. Dan aku pasti, itu adalah ‘dia’. Ke mana sahaja aku pergi, pasti dia tahu.

Seperti dia sentiasa mengekori dan memerhatikan aku. Sebelum aku bertolak ke Kelantan pun aku ada menerima satu bungkusan yang bersetemkan luar negeri. Di dalamnya aku dapati terdapat dua buah buku yang bertajuk Fitnah Wanita dan Bakal Wanita Syurga. Juga terdapat sekeping nota ringkas bersama bungkusan itu.

"Assalamualaikum...."
Di harapkan ustazah sudi menerima hadiah dari saya ini sebagai ucapan tahniah saya kerana ustazah telah terpilih untuk menjadi guru sandaran. Semoga ada manfaatnya buku ini kepada ustazah.
Pemanggil misteri.

aku tidak lagi menaruh sebarang kebencian kepada pemanggil itu. Sebarang hadiah atau pemberian darinya aku terima dengan rela hati. Sekurang-kurangnya aku tidak payah membeli untuk itu. Teringin juga aku untuk bertemu dan mengenali siapakah sebenarnya ‘pemanggil misteri’ itu. Misteri sangatkah dia sampai dia tidak mahu memperkenalkan dirinya kepadaku? Namun aku sangat berharap agar suatu hari nanti aku akan menemuinya.

“Masa kat masjid lagi mak cik lihat Idah asyik termenung. Kenapa ni?” Tanya orang tua itu sewaktu kami berjalan pulang dari masjid
“Tak ada apa-apa lah mak cik. Badan ni yang masih penat lagi ni.” Alasanku padanya. “Yealah tu. Macamlah aku tak tahu. Nak sorok kat siapa hah?!” Nadia mula nak buka ‘gelanggang’ denganku.
“Kalau ada pun. Aku ingat kat famili aku sajalah.” Seboleh-bolehnya aku tidak mahu orang lain tahu keadaan sebenarnya.

“Habis tu si pemanggil misteri tu siapa?” Rupa-rupanya Nadia sudah mengetahui tentang hal itu. Tapi dari mana dia tahu. Aku rasa. Aku tidak pernah memberitahu sesiapa pun tentang ‘pemanggil misteri’ itu.
Semenjak aku menjawat jawatan guru sandaran ni, jadual harianku telah berubah. Banyak perkara yang perlu aku lakukan sebagai persediaan untuk mengajar. Aku tak sangka apabila telah diarahkan oleh pihak pentadbir sekolah untuk mengajar subjek Tasawur Islam untuk tingkatan 4 dan Pendidikan Islam untuk tingkatan 3. Pada mulanya aku minta ditukar untuk mata pelajaran lain tapi aku tidak ada pilihan lain. Maka aku terpaksa menerima panggilan ‘ustazah’ itu. Ah Kenapa ini boleh berlaku. Sebelum ini, panggilan itu agak terlalu janggal untuk aku. Tapi setelah beberapa lama aku mengajar. Aku sudah lali dan mungkin boleh juga dikatakan agak serasi denganku.

Namun aku terpaksa melakukan banyak perubahan terhadap penampilan dan peribadiku agar ia benar-benar secocok dengan panggilan itu. Aku tidak lagi selincah di kampus dulu. Keadaan berpakaian pun sudah berubah. Seluar, jeans dan t-shirt hanya kat rumah dan apabila bersama keluarga sahaja. Keluar aje dari rumah. Aku akan mengenakan baju kurung ataupun busana. Skaf telah ku ganti dengan tudung. Pada mulanya aku agak rimas berpakaian begitu, namun keadaan yang telah memaksa aku untuk berbuat demikian. Aku benar-benar berubah. Aku bukan lagi seperti Faridah yang dikenali sewaktu di kampus dulu. Oleh itu ramai teman-teman rapatku yang agak terkejut dengan perubahanku ini. Tidak kurang pula yang bersyukur pada Tuhan kerana telah membukakan pintu hidayahnya kepadaku.

aku juga telah memaklumkan pada keluargaku, mereka tidak membantah. Malah mereka juga turut bersyukur. Cuma mereka harap aku melakukannnya atas dasar kesedaran dan keikhlasan serta istiqamah kerana Tuhan. Bukannya sekadar hangat-hangat tahi kerbau. Di antara orang yang paling gembira dengan perubahanku itu ialah ‘pemanggil misteri’ itu.

“Syukur dan syabas saya ucapkan kerana ustazah telah berubah.” Ucapnya melalui telefon setelah sekian lama dia tidak menghubungiku melalui telefon. “Terima kasih saya ucapkan pada awak kerana telah banyak mengubah peribadi saya.” Ucapku ikhlas. “Itu tugas saya sebagai seorang sahabat.” “Tapi bilakah saya dapat mengenali siapakah awak yang sebenarnya?”. aku sememang dah tidak sabar untuk mengetahui siapakah dirinya yang sebenar. “InsyaAllah, bila sampai ketentuanNya nanti tetap ustazah akan tahu juga siapa saya.” Itulah jawapan yang selalu aku perolehi darinya apabila soalan demikian aku kemukakan.

“Dah lama awak tak hubungi saya, ke mana awak pergi?” Tanyaku.
“Saya keluar negeri, sambung pengajian.” Patutlah surat dan bungkusan darinya dulu bersetemkan setem Australia. Itulah pertama kali aku dengar suaranya setelah kira-kira lebih dua tahun dia tidak menelefonku. Hanya surat yang menjadi perantaraan. Itupun suratnya untuk aku sahaja. Aku pula tidak pernah mengirimkan sepucuk surat pun kepadanya kerana aku tidak tahu kepada siapa patut aku tujukan dan alamatnya pun entah di mana. Dia tidak pernah memberikannya kepadaku.

Malam itu, ibu ada menelefonku. Dia tanya sama ada aku balik atau tidak pada cuti tahun baru cina nanti. Aku kata, kalau ikutkan perancanganku memang nak balik. Tapi tak tahulah agaknya-agaknya ada hal pulak nanti. “Kenapa?” Soalku pada ibu. “Ada orang nak datang tengok angah.” Jawapan ringkas ibu itu telah cukup untuk membuatkan aku terkejut besar. Aku memang tak sangka. Jantung ku berdegup kencang. “Angah belum bersedia lagi untuk berumah tangga bu.”. aku masih mahu bebas dari ikatan itu. “Ibu tak paksa angah untuk terima, tapi baliklah dulu. Kita tengok, lepas itu angah yang buat keputusannya nanti. Ibu dan abah terima saja.” Pujuk ibu. Terasa sedikit kekuatan dengan jaminan yang diberikan ibu itu.

Kalau boleh. Aku ingin menentukan sendiri pasangan hidupku tanpa sebarang paksaan dari kedua orang tuaku. Semenjak dari pengkhabaran ibu itu. Aku begitu berdebar untuk menunggu cuti tahun baru cina yang hanya tinggal seminggu sahaja lagi. Aku lebih banyak termenung memikirkan hal itu. Setiap kali aku balik dari mengajar ke rumah sewa aku di Kampung Kota Kubang Labu. Aku lebih suka bersendirian dalam bilik. Nadia merasa pelik dengan perubahan mendadak ku itu. Aku menceritakan sebabnya kepada Nadia.

“Bersabarlah. Apa nak dirisaukan, ibu engkau dah beri jaminan bahawa dia tak memaksa. Jadi pilihannya di tangan engkau sendiri.” Nasihat Nadia. “aku risau sebab aku takut untuk mengingkari harapan mereka.”
Mulai hari itu juga. Aku memohon petunjuk Allah dalam menentukan dan memberikan kekuatan kepadaku.

Ya Allah, sekiranya Engkau telah menentukan jodohku, maka aku harap Engkau mengurniakan aku seorang suami yang soleh. Mampu membimbing aku dan bakal zuriat yang akan lahir dari rahimku ini.
Ya Allah, bantulah aku dalam menentukan perkara ini. Janganlah Engkau biarkan diriku sendiri menentukan perjalanan hidupku walau hanya sekelip mata. Aku memohon dariMu kebaikan yang berpanjangan dan bahagia yang berkekalan.




Kepulanganku ke rumah di Selayang disambut gembira dengan seisi keluarga. Semuanya berkumpul, tambah-tambah lagi kerana cuti tahun baru cina. Lagipun mereka semua ingin tahu siapakah gerangan yang mahu datang itu. Abang long, abang chik semua balik. Kakak ipar dan anak buah juga tidak ketinggalan untuk turut serta.

“Tak lama lagi, Man dapat abang iparlah. Ibu kan!” Itu suara adikku si Rahman. “Ish kamu ni Man. Tak boleh ke kalau tak usik angah tu.” Ibu cuba membelaku. Aku hanya melayan perasaan. Perasaanku berbelah bagi. Entah apa keputusan yang akan kuberikan kepada abah dan ibu nanti. “Ibu tak memaksa angah untuk menerimanya. Angah yang akan menentukannya sendiri.” Ibu mengulangi jaminannya padaku sewaktu dia melihatku murung.

“Along terima siapa sahaja yang menjadi pilihan angah untuk jadi suami. Suami angah adalah adik ipar along juga.” Kata along sambil menepuk-nepuk bahuku. “Acik pun macam tu juga. Kami nak tengok angah bahagia. Itu sudah memadai bagi kami.” Sokong Acik pula. Sekarang aku benar-benar yakin bahawa aku memiliki sepenuh kuasa untuk menentukannya. Semua keluarga menyokong aku. Sekurang-kurangnya ia membuatkan aku berasa lega.

Semua ahli keluargaku sibuk untuk menyediakan jamuan keluarga sempena kedatangan tetamu yang begitu mendebarkan hatiku itu. Mengikut kata ibu, mereka akan datang lepas maghrib dan akan makan malam bersama-sama keluargaku. Apabila masuk waktu maghrib, semua ahli keluargaku berjemaah di rumah. Abah yang jadi imam dan along yang jadi bilal. Cuma aku saja yang terkecuali sebab uzur. Jadi kenalah aku tengok-tengokkan Ain, anak saudaraku yang baru berumur 9 bulan. Makin tak keruan aje rasanya jiwa ini. Tapi bila memikirkan yang semua ahli keluarga menyebelahiku. Aku rasa bersemangat. Aku begitu gembira bila berpeluang untuk berkumpul dengan seluruh ahli keluargaku ini. Aku sangat bangga mempunyai keluarga yang sebahagia ini. Dan doaku semoga keluarga yang akan kubina nanti sekurang-kurangnya akan menjadi seperti keluargaku ini.

Sewaktu, azan Isyak berkumandang dari Masjid Selayang kedengaran ada orang memberi salam di luar rumah. Aku bangkit bergegas ke bilikku. Aku malu, takut dan segan. Semua jenis perasaan mula berkumpul di hati ini. Badanku terasa seram sejuk dan panas serta-merta. Aku tak tahu apa yang mereka kat luar tu bincangkan. Cuma terdengar suara hilai ketawa sahaja. Selang beberapa minit. Aku terdengar suara orang bertakbir.

“Seperti suara yang pernah kudengar.” Bisik hatiku sendirian. Kemudian, diikuti dengan bacaan surah al-Fatihah yang dialunkan mengikut bacaan Saad al-Ghamidi. “Ya Allah! Siapakah dia?” Hatiku semakin kuat tertanya-tanya siapakah sebenarnya empunya suara. Seperti suatu suara yang selalu kudengar. Seperti suara yang sering menasihatiku itu.

“Ya Allah. Aku bermohon kepadaMu dengan kebaikan. Kurniakanlah aku suatu kurniaan di sisiMu yang boleh membahagiakan seluruh kehidupanku. Tetapkanlah kasih sayang di hati ini agar tidak goyah dalam mengharungi arus deras ini.” “Ya Allah! Kiranya dia adalah utusan dan ketentuanMu buatku. Aku harap Engkau permudahkanlah dan bukakanlah hatiku ini untuk menerimanya dengan ikhlas. Jika ia ditakdirkan bukan milikku, maka jauhkanlah hatiku darinya. Hilangkanlah bayangan wajahnya dari tatapan dan pandanganku agar hatiku bisa tabah menerimanya.” “Ya Allah! Sesungguhnya aku redha dengan segala ketentuanMu buatku. Amin….”

Ketukan pintu bilikku membuatkan aku terkejut. Ibu masuk merapatiku.
“Marilah keluar! Mereka mahu kenal angah.” Bisik ibu perlahan. Aku merenung ibu dengan pandangan yang berkaca-kaca. Ibu mengangguk lembut, terseyum memandangku sambil jari telunjuknya mengesat air mataku yang mengalir perlahan. “Sudahlah. Ibu ada bersama angah. Usah takut.” Pujuk ibu lagi. Aku bangun perlahan seperti tidak bermaya. Mengenakan jubah yang baru siap aku tempah dan telekong pink. Inilah kali pertama aku mengenakan jubah. Aku lap mukaku dengan tisu untuk menghilangkan sisa-sisa air mata.

aku memandang ibu. Ibu mengangguk dan memimpin tanganku keluar untuk menemui tetamu yang mungkin istimewa. Aku menundukkan mukaku. Tidak berani untuk melihat siapakah tetamu itu. Ibu memimpin aku ke ruang tempat kami sentiasa solat. Rupa-rupanya mereka semua menunggu aku di situ. Aku duduk bersimpuh di sisi ibu dan diapit oleh kak long serta kak chik. Tetamu itu duduk bersetentangan denganku. Pada agakkanku, dia sedang memerhatikan gerak-geriku. Aku tidak berani untuk mengangkat mukaku untuk memandangnya.

“Pak cik! Izinkan saya untuk bercakap dengan Faridah sekejap.” Tetamu itu memohon keizinan dari abah. “Silakan.” Keizinan yang diberikan abah itu membuatkan aku berdebar-debar. Tetamu itu merapatiku dan kini dia betul-betul bersila di hadapanku. Aku dapat mendengar bunyi nafasnya dan dapat menciumi bau minyak athar yang dipakainya.

“Ya Allah! Tenangkanlah hatiku dan tolonglah aku di saat ini. Ya Allah. Aku benar-benar bermohon kepadamu.” Doa hatiku. “Ustazah Faridah! Jika ini dinamakan takdir, maka telah tiba masanya ustazah mengenali saya.” Betulkah suara itu yang aku dengar. Aku belum mampu untuk memandang wajahnya. Tapi suara itu membuatkan hatiku bergetar.
“Dulu saya bukanlah abang apatah lagi suami ustazah, tapi sekarang saya datang untuk mengambil ustazah sebagai suri hidup saya.”
“Ya Allah! Benarkah seperti apa yang aku dengar sekarang ini? Ini benar-benar suara dia. Aku yakin, memang inilah suara dia.” Bisik hatiku.

‘Sudikah ustazah membukakan pintu hati ustazah untuk menerima cinta dan kasih sayang saya kerana Allah?” Soalnya perlahan. Perlahan-lahan aku mendongak mukaku dan pandangan kami bertembung. “Haikal!” Bisikku perlahan. Dia tersenyum memandangku. Air mataku mula mengalir. “Ya Allah! Benarlah janjimu terhadapku. Aku menerima kurniaanmu ini dengan penuh redhaku.”

aku berpaling pada ibu. Ibu memandangku dengan penuh kasih sayang. Aku memeluknya erat. “Ibu, angah dah bersedia untuk jadi seorang isteri bu!” Bisikku perlahan. Ibu memelukku erat tanda akur dengan kehendak dan keputusanku.








Posted at Monday, December 01, 2008 by aslam_fatin
Make a comment  

Hakikat Pernikahan..


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Ada banyak alasan manusia yang membuat dasar dari hakikat pernikahan,
hakikat yang seperti apakah yang paling membahagiakan?
cuba kita lihat...
dan manakah pilihan kita???

*Jika hakikat pernikahan adalah kerana SEX,
maka pasangan rajin bertengkar
jika servis di kamar tidur tidak memuaskan,
atau rajin hadir ke SEX party.

*Jika hakikat pernikahan adalah kerana HARTA,
maka pasangan bakal bubar jika bangkrup.

*Jika hakikat pernikahan adalah kerana BEAUTY/BODY,
maka pasangan bakal lari
jika rambut beruban dan muka keripot
atau badan jadi gendut.

*Jika hakikat pernikahan adalah kerana ANAK,
maka pasangan akan cari alasan utk pergi
jika buah hati (anak) tidak hadir.

*Jika hakikat pernikahan adalah kerana KEPRIBADIAN,
maka pasangan akan lari
jika orang berubah tingkah lakunya.

*Jika hakikat pernikahan adalah kerana CINTA,
hati manusia itu tidak tetap
dan mudah terpikat pada hal-hal yang lebih baik,
lagi pula manusia yang dicintai pasti MATI / PERGI.

*Jika hakikat pernikahan adalah kerana IBADAH kepada ALLAH,
sesungguhnya ALLAH itu KEKAL
dan MAHA PEMBERI HIDUP kpd makhlukNYA.
Dan ALLAH mencintai hambaNYA
melebihi seorang ibu mencintai bayinya.
Maka tak ada alasan apapun didunia yang dapat meretakkan rumah tangga
kecuali jika pasangan mendurhakai ALLAH.



Maka, sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :
"Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan,
Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu,
Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu..
dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat
kepada Dzat yang Memiliki mu."

"Untungnya orang mukmin,
semakin banyak masalah semakin mustajab doanya..
Tak namanya perjuangan tanpa kesulitan,
namun di sebaliknya ada ketenangan..
Yang pasti kita tidak sendirian..
ALLAH tetap bersama..."








Posted at Monday, December 01, 2008 by aslam_fatin
Make a comment  




Wednesday, June 21, 2006
SUSAHNYA MENCARI KAWAN YANG SETIA


Bukan senang untuk mendapat kawan yang setia,
Boleh berkawan waktu susah dan senang,
Di waktu dukacita dan gembira,
Di waktu kita buntu fikiran dialah yang memberi pandangan,
Ketika tidak ada apa yang hendak dimakan, diberi bantuan,
Boleh memberi pertolongan sebelum diminta
kerana faham masalah kawan,
Apatah lagi apabila diminta,
Waktu sakit diziarahi,
Di waktu mendapat nikmat, dia melahirkan kegembiraan,
Kesusahan kawan kesusahannya,
Kesedihan kawan adalah kesedihannya,
Keluarganya dijaga dan diambil berat tentang kehidupannya,
Maruah kawan dan keluarganya amat dijaga,
Ia merasakan maruah diri sendiri juga,
Apabila sudah agak lama tidak berjumpa
sudah bertanya-tanya,
Apa halnya, apa masalahnya, lama tidak berjumpa,
Kebaikannya dicerita-cerita dan dipuji-puji di belakangnya,
Keaibannya ditutup, kecacatannya tidak diumpat,
Mengutamakan kawan dari dirinya,
Selepas mati keluarganya tetap dihubungi,
Silaturrahim dengan keluarganya terus bersambung,
Susah payah keluarga kawannya selepas mati tetap ditolong,
Aduh,mana hendak dapat kawan di waktu ini,
Macam kita gambarkan tadi,
Penulis pun belum boleh setia dengan kawan,
Aku memohon ampun kepada Tuhan,
Kerana belum boleh setia dengan kawan.





Posted at Wednesday, June 21, 2006 by aslam_fatin
Make a comment  




Next Page


Bismillahirrahmanirrahim...


.: profile diri :.

   A     S     L     A     M

    F     A     T     I     N

graduate pic, 2008

  • 15th november 1985
  • 2nd rabiulawal 1406
  • usj2 subang jaya
  • ex-UiTM Shah Alam
  • soutul_mujahidah@yahoo.com



    SYABAS!!
    Anda telah BERJAYA menjadi Pengunjung yang ke..


    Free Hit Counter
    ~~Syukran Jaziilan~~





       











Contact Me

If you want to be updated on this weblog Enter your email here:




rss feed